Thursday, July 14, 2011

AKU TIDAK MAMPU -.-'

Rasa lemah. Sudahkah kita memohon kekuatan daripada Allah?
Ada kalanya, kita diuji dengan ujian yang teramat beratnya.
Ujian yang mampu membuat kita terduduk atau tersungkur.
Kita mahu bangkit, namun rasa lemah menguasai diri. Bahkan, kita rasa, jalan penyelesaian keluar itu seolah-olah tiada.
Lantas, satu perasaan itu mancul.
"Aku tidak mampu."
Itu apa yang kita rasa. Lalu, perasaan itu membawa kita kepada suatu tindakan lain.
Berputus asa.
Namun, benarkah bahawa kita tidak mampu?
Manusia Itu Diuji Sesuai Mengikut Kemampuan
Sesungguhnya, manusia itu hanya akan diuji sesuai mengikut kemampuannya. Sehebat mana pun sesuatu ujian itu, sesukar mana pun ia di mata kita, percayalah, bahawa kita sebenarnya mampu untuk menghadapinya.
Sebagaimana janji Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah,
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." 
[Surah Al-Baqarah, 2: 286]
Pengasihkan Allah? Allah itu tidak sekali-kali akan menzalimi hamba-hamba-Nya dengan memberi kita ujian-ujian yang melebihi tahap kemampuan kita. Tidak sekali-kali.
Namun begitu, mengapa ada masanya, perasaan 'tidak mampu' itu muncul dalam diri kita?
Mengapa kadangkala, kita rasa seperti diri kita telah direnggut segala daya dan upaya?

Namun, sudahkah kita kembalikan ujian itu kepada Allah?
Bukankah Allah itu telah berjanji bahawa Dia sentiasa bersama dengan mereka yang berusaha untuk bergerak mendekatiNya?
Dan adakah sesiapa yang lebih tepat janjinya, berbanding Allah? Tiada.
Sungguh, tatkala kita diuji, di masa rasa lemah itu menyapa kita, Allah itu sentiasa ada untuk membantu hamba-hambaNya. Cuma terkadang, kita sahaja yang jarang berusaha untuk mendekati-Nya.
Justeru, di saat diri merasa lelah dan tidak mampu,
Kembalikanlah jiwamu kepada Allah.
Sepenuhnya.
Dan jangan ditangguh-tangguhkan lagi. Ayuh!
Lalu, dari-Nya kau akan merasakan, kekuatan itu akan kembali hadir, dan mula bercambah di dalam jiwamu.
Dengan izin Allah, semestinya (:

No comments:

Post a Comment